Tuesday, September 30, 2014


EPISOD 2
 

Aiman baru saja berhijrah ke Bukit Beruntung, mengikut keluarganya yang berpindah ke kampung halaman. Kampung Selesa. Balik kampung! Ayahnya mendapat tawaran kerja dengan gaji yang lebih lumayan di Serendah. Ibunya turut sama bertukar kerja di sebuah bank di Bandar Rawang. Masa tu umur Aiman 10 tahun dan di hantar ke sekolah berhampiran dengan kampungnya untuk meneruskan persekolahannya.

Sekolah itu masih baru dibuka, dan sebelum Aiman, hanya ada beberapa orang pelajar sahaja di kelas yang sama. Jumlah pelajar keseluruhan sekolah itupun boleh dikira dengan jari. Aiman ni seorang yang pemalu dan reserve, lambat nak serasi dan mesra dengan orang lain. Perangainya yang satu ni masih bertahan hingga sekarang, walaupun setelah merantau jauh ke tempat orang. Aiman agak keseorangan gak masa tu dan banyak bersendiri. Beliau banyak menghabiskan masa membaca buku-buku cerita. Kadangkala beliau boleh menghabiskan se naskah buku dalam satu hari! Perangai Aiman berterusan sehinggalah kehadiran seorang lagi pelajar baru beberapa bulan selepas itu.

Siti, itu nama budak baru tu. Nama sebenarnya Siti Natasha. Cantik nama tu tapi Aiman lebih selesa memanggilnya dengan nama singkat itu. Siti sebaya dengan Aiman. First impression Aiman? Comel, cantik, lawa… bukan main lagi Aiman membuat penilaian. Hmm, boleh tahan gatal Aiman ni, baru darjah 4 tu! Tapi Aiman perasan yang Siti ni agak garang dan tak boleh lebih kurang sikit. Suka hati Aiman je menilai orang ye. Tak baik tau….

Tapi sebenarnya, Aiman dah mula suka dengan Siti sejak mula-mula berjumpa Siti lagi. Aiman pula adalah pelajar sekolah itu yang pertama yang Siti datang jumpa bila mendaftar masuk. So Aiman rasa macam bagus-bagus masa tu. Hmm, Aiman tu memang suka perasan macam tu, sampai la sekarang ni... Walaupun Siti tu nampak garang dan tak mudah didekati, Aiman cuba pelbagai cara untuk rapat dan mesra dengan Siti. Aiman pun tak tau mengapa, tapi Aiman rasa nak sangat mendekati Siti, walaupun Siti selalunya buat tak layan dan endah tak endah aje… Aiman rasa ada sesuatu yang murni pada Siti di sebalik kegarangannya itu. Nasib kau le Aiman, jangan kena penampar buaya dah le!

 
Walaupun berbeza kelas, Aiman selalu juga berjumpa dan berselisih dengan Siti, terutamanya waktu perhimpunan dan waktu rehat. Siti ni ramai kawan, dan selalu ke mana-mana berkawan, so Aiman cuma dapat curi-curi pandang SIti dari jauh aje. Kadang-kadang Siti perasan tapi dia buat tak layan je. Jual mahal la tu konon! Bila ada peluang bercakap, Aiman tidak melepaskan peluang untuk menegur Siti. Bila dah bertentang mata tu, Siti layan jugak la, tidaklah pula dia menolak atau mengelak untuk berbual-bual dengan Aiman.

 
Aiman tahu Aiman sukakan SIti, tetapi Aiman tak tahu macamana nak mendekati Siti. Seperti pengamatan asal, Siti masa tu memang garang, panas baran, tak boleh salah sikit dan hanya nak ikut cakap dia aje. Pernah Aiman perhatikan ada budak lelaki yang kena sergah dengan SIti, dan ada masa gak yang dia pulak kena tengking dengan budak lelaki lain. Melalak-lalak Siti, kesian Aiman tengok, tapi Aiman tak boleh nak buat apa-apa la. Aiman tumpang simpati aje la…

 
Walaupun Aiman dan Siti berlainan kelas, tetapi mereka berdua aktif dalam persatuan. Aiman menggunakan peluang ini untuk rapat dengan Siti. Selalu bila ada perbincangan tentang apa-apa projek, Aiman akan pastikan dia akan duduk berdekatan dengan Siti. Untuk menarik perhatian Siti, Aiman akan sentiasa mematahkan serta memperlekehkan idea-idea yang Siti ajukan. Nak tunjuk bagus pun ye gak tu. Silap besar la tu…  Hmm, memang pantang Siti la kalau orang lain mempertikaikan idea dia, terutamanya kalau dia rasa dia betul atau idea dia tu dah bagus benar. Habis la Aiman kena ‘serang’, dengan muka yang merah padam. Nasib baik Siti bertudung, kalau tak rasanya nampak asap panas keluar dari telinga Siti tu!

 
Ada masa Aiman biarkan aje Siti marah-marah camtu, tapi ada ketikanya pulak Aiman hilang sabar. So, sama-sama lah mereka bertekak dan bertegang leher. Siti tu nama je perempuan, tak mau mengalah kalau bab-bab bertengkar ni. Rakan-rakan lain sama ada mendiamkan diri atau angkat kaki malas nak masuk campur kalau Aiman dan Siti dah mula bergaduh. Pernah sekali Aiman hampir-hampir ringan tangan nak bagi penampar pada Siti, tapi bila kenangkan akibat yang lebih buruk, Aiman tak jadi meneruskan niatnya. Tapi Aiman tetap Aiman, dia melepaskan marahnya dengan menghentak meja, menjerit nyaring dan beredar dari situ.
 
 
 
 
 

 

Saturday, September 27, 2014


EPISOD 1:
 

Jarang benar Aiman mempunyai masa se senggang hari ini. Selalunya hari hujung minggu adalah waktu paling sibuk buatnya, ke sana sini untuk menyelesaikan hal-hal peribadi. Tapi, pagi ni, dengan hujan yang agak lebat dan dengan suasana dingin, Aiman buat keputusan untuk tidak ke mana-mana. Lagipun tiada apa-apa urusan penting yang perlu disegerakan, so, lepak kat rumah bujang ni aje lah, kata Aiman di dalam hati.

Selepas solat, Aiman bermanguan  seketika di jendela tingkap biliknya. Niat nak memerhatikan titisan air hujan rahmat yang mencurah-curah itu. Mencari ketenangan bagi merawat kekosongan hati. Chewahh! Jarang hujan di waktu pagi hujung minggu. Memang sesuai untuk tarik selimut semula… Sambil merenung kenderaan yang lalu lalang di hadapan rumah di Lincoln Avenue, fikiran Aiman entah kenapa menerewang kepada seseorang yang telah agak lama beliau tidak bertanya khabar.

Siti, rakan Aiman semasa di sekolah rendah membawa ke sekolah menengah hingga sama-sama masuk universiti yang sama. Tetapi semenjak Siti berhenti dari meneruskan pengajiannya, Aiman tidak berjumpa lagi dengan Siti, juga tiada khabaran berita perkembangan terkini SIti. Sihatkah dia? Di mana dia sekarang? Sudah berkahwinkah dia? Siapa suaminya, dan dah berapa orang anak agaknya… Persoalan bertubi-tubi menerjah fikiran Aiman, satu-satu.

Aiman terasa pipinya hangat. Oh! Rupanya tanpa sedar Aiman rasa sebak dan menitiskan air mata bila teringatkan Siti. Aiman membiarkan sahaja air mata itu mengalir seketika, tetapi cepat-cepat  mengesatnya sebelum Karim, rakan sebiliknya perasan yang Aiman tangkap feeling.

“Tak macho la tangkap leleh, beb!”  Antara kata-kata sinis Karim nanti…

Aiman terus melayan perasaan, menerjah jauh mengenang saat-saat beliau berkawan, bergaduh, membebel, meroyan, bekerja bersama dalam satu projek semasa di universiti dengan Siti. Sebenarnya, ramai lagi rakan-rakan yang turut terlibat, tapi, entahlah, mengapa hanya SIti saje yang terlintas di fikiran…  Apa saja la memori yang Aiman sempat singkap semula semasa bersama dengan Siti di sepanjang tempoh mengenali Siti sejak kecil dulu. Senyum, ketawa kecil, sebak dan terharu, berbaur-baur perasaan Aiman ketika itu.


Thursday, September 25, 2014


PENGENALAN

 Konflik jiwa Aiman, seorang anak muda yang sering mengingati, merindui dan kadang kala menyesali babak-babak silam dalam kehidupannya.

Pengkisahan hubungan dua insan yang melakari kehidupan bermula dari pertemuan pertama Aiman dan SIti semasa di sekolah rendah membawa ke menara ilmu. Kisah berkisar kehidupan yang mereka tempuh, suka duka, tempoh pahit manis sepanjang perkenalan mereka. Banyak denai dan ranjau yang mereka lalui bersama, terutamanya semasa meneruskan pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi. Bermula dengan persepsi buruk terhadap yang seorang lagi, berevolusi menjadi berkawan biasa dan berakhir dengan teman tapi mesra.

Mereka akrab, saling memahami  dan saling menjaga hati dan perasaan masing-masing. Dalam diam, Aiman menyimpan perasaan yang mendalam kepada Siti, dan hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk melafaskannya serta melamar gadis itu sebagai teman hidupnya. Malangnya ketika hubungan kemesaraan mereka berada di puncak, Siti meninggalkan segalanya. Terkontang kanting Aiman mencari jawapan kepada gejolak hatinya yang belum sempat dizahirkan.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Mengapa Siti pergi dan meninggalkan Aiman? Mengapa Aiman begitu tersirna dengan pemergian Siti? Apakah Siti mengetahui isi hati Aiman? Apakah Siti akhirnya menjadi teman hidup Aiman, seperi yang dicitakannya?

Semuanya dilakari dalam … EMBUN SENJA – Ceritaku ceritamu…



PRAKATA

 Kenangan. Denai kehidupan yang pernah ditempuhi di suatu ketika dahulu. Mungkin ianya berulang kembali, tetapi selalunya ia akan makin kabur dan lupus di telan usia.

Kenangan. Ia tidak mampu diterjemahkan dengan tutur kata. Ianya hanya mampu dipotret dan dinukilkan di atas layar memori. Pahit atau manis, ianya memberikan sumber kekuatan dan inspirasi. Ia mengajak insan bermuhasabah diri serta mengambil pengajaran untuk kemaslahatan di hari muka.

Tidak perlu dikesalkan apa yang telah dan tidak berlaku. Yakini bahawa perancangan Allah SWT yang terbaik, biar betapa insan menginginkan sesuatu yang tidak Dia takdirkan untuk diri kita. Usahlah merintih untuk sesuatu yang tidak dimiliki, sebaliknya bersyukurlah dengan apa yang menjadi milik kita. Sesungguhnya tiada daya upaya kita melainkan dengan kehendak dan iradatNya. Kita insan kerdil.

Kenangan. Biarlah ia kekal sebagai kenangan.