Wednesday, November 19, 2014

EPISOD 5


“ Kau teringatkan SIti ke? “ Tiba-tiba Karim membuka bicara.

“ Tak de la” Selamba Aiman menafikan.

“ Kau jangan nak kelentong aku la, Aiman. Dah lama aku perhatikan kau mengelamun tadi “ Karim mencelah pula sambil mengambil tuala mandinya yang berbau yang tersidai di daun pintu bilik air bilik itu. Busuknya!

“ Alamak, pecah rahsia aku” Gerutu Aiman dalam hati. Aiman hanya tersenyum kambing saja tanda mengiakan teori Karim tadi.

Sambil membetulkan kain pelikat sebelum masuk ke tandas, sempat Karim memberikan nasihat percuma pada Aiman.

“ Orang lelaki ni Aiman, kalau dia dah suka dan berkenan dengan perempuan tu, kena berani terus terang. Puas hati kalau dia terima, kalau tak, kau boleh move on. Ni dalam hati suka tapi dok simpan dalam hati je nak buat apa. Bukan setahun, dua tahun, dari sekolah rendah lagi kau berkawan dengan dia. Silap-silap dia dah jadi hak orang “ Panjang pulak Karim berleter.


Aiman mendiamkan diri aje. Ada benarnya juga kata-kata Karim tadi. Karim tahu banyak cerita Aiman kerana Karim turut bersama Aiman dan Siti semenjak sekolah rendah hingga masuk ke universiti dahulu. Cuma, Karim ambil kursus Software Engineering, sementara Aiman dan Siti sama-sama mengikuti kursus Mass Comm.
 

Hmm, Aiman mendengus sambil mengangkat bahu sebelah tanda malas nak berfikir. Apa yang Aiman boleh ingat, selepas Siti pulih dari sakit dan kembali semula ke sekolah, hubungan Aiman dan Siti semakin bertambah baik. Amat jarang Aiman dan Siti bertegang leher. Hubungan mereka jauh lebih mesra jika hendak dibandingkan dengan sebelum Siti jatuh sakit. Selalunya mereka akan berhujah dan berdebat dengan penuh hemah. Gurauan-gurauan kecil kadang kala mengiringi perbincangan mereka. Aiman dan Siti masing-masing cuba mengawal diri supaya tidak keterlaluan membantah apabila tidak bersetuju dengan pandangan dan pendapat yang satu lagi.
 

Walau bagaimanapun, Aiman tetap berhati-hati untuk tidak melintasi sempadan yang telah beliau lakarkan sendiri sebelum ini.Sebenarnya Aiman merasa malu dan terkilan dengan ayat-ayat sinis SIti ketika Aiman sedang berkawan rapat dengan Zarina. Masa tu mereka di Tingkatan 1. Pada mulanya, Aiman hanya suka-suka berkawan dengan Zarina dengan niat untuk membuat Siti cemburu. Ia hanya perasaan Aiman sahaja kerana SIti langsung tak terkesan dengan tindak tanduk Aiman itu. Dari main-main, Aiman mula serius dengan Zarina, tetapi tidak lama bertahan kerana Aiman dapati Zarina walaupun seorang gadis yang baik, tetapi tidak sesuai dengan jiwa Aiman.
 

Zarina terlalu sensitif. Letih Aiman nak melayan dan menjaga perasaannya. Dia kuat merajuk, dan Aiman pula jenis yang tak tahu mengambil hati perempuan. Akhirnya, Aiman nekad tinggalkan Zarina. Kesian dengan Zarina, tetapi masa tu Aiman rasa dia perlu jujur dengan dirinya sendiri dan juga dengan Zarina. Semasa berkawan dengan Zarina itu, Aiman sering menemani Zarina ke pusat sumber dan makmal Sains, tetapi setiap kali kalau terserempak dengan SIti, Aiman merasa serba salah. Mahu rasanya Aiman tarik tangan Siti dan menjelaskan apa yang dia nampak dan apa yang di dalam hati Aiman adalah berbeza. Bila difikirkan SIti tu boleh saja menengking Aiman di depan kawan-kawannya, Aiman terus berlagak sombong.


Susah nak percaya, kan. Tapi, hati Aiman hanya untuk Siti. Semenjak pertama kali melihat Siti di sekolah rendah lagi Aiman sudah suka dengan Siti, dan bila meningkat remaja perasaan suka itu sudah bertukar menjadi sayang. Hati Aiman bergetar setiap kali melihat kelibat Siti, dan Aiman sentiasa memantau perkembangan Siti dari jauh. Aiman berhasrat untuk menyunting Siti menjadi teman hidupnya bila tiba masanya nanti. Aiman khuatir Siti mungkin langsung tidak ada apa-apa perasaan terhadap Aiman. Itu yang menyebabkan Aiman tidak mempunyai kekuatan untuk mendekati dan meluahkan perasaannya pada Siti.  Aiman hanya berkongsi perasaan sebenearnya terhadap Siti dengan Karim, kawan rapatnya.
 

Masa Aiman berkawan dengan Zarina, entah mengapa ramai rakan-rakan yang tak berapa setuju dengan hubungan tersebut. Ramai meramalkan yang hubungan itu tidak akan bertahan lama dan akhirnya Aiman akan mengecewakan Zarina. Mungkin sebab Aiman dilihat sebagai seorang yang garang dan panas baran. Berbeza benar dengan Zarina yang lembut dan sopan santun. Bila Aiman nekad tinggalkan Zarina, salah seorang yang marah sangat ialah SIti, dan SIti menjadi ‘kepala’ memulaukan Aiman. Aiman merasa sangat sedih kerana Siti tidak memberinya peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya. Pernah Aiman mengajak bersemuka dengan SIti di kantin sekolah, tetapi Siti menolak mentah-mentah.
 

Ini berlaku sebelum SIti jatuh sakit. Sejak itu Aiman merasa jauh hati dengan SIti, dan cuba menjarakkan diri serta membuang jauh-jauh perasaan hati Aiman yang sebenarnya terhadap SIti. Itu sebabnya walaupun selepas itu mereka boleh berkawan, Aiman sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak berlebih-lebihan dan mengawal perasaan diri sendiri. Sesuatu yang sukar sebenarnya bagi Aiman lakukan kerana jauh di sudut hati, Aiman tetap menaruh harapan pada SIti.


Saturday, November 1, 2014


Episod 4


Bunyi petir sabung menyabung menyedarkan Aiman dari lamunan.

“ Hmm, apa yang aku mengelamun ni “ gerutu Aiman.

Aiman menoleh ke arah Karim yang sejak dari tadi lena di ulit mimpi. Lega sikit Aiman, kalau tidak sudah pasti Karim buat ‘lauk’ sepanjang hari. Aiman beredar dari gerigi tingkap tersebut. Kenderaan pun sudah semakin kurang melintasi Lincoln Avenue itu. Mungkin penduduk di sekitar Avenue tu turut nak bermalasan di rumah sahaja dalam suasana cuaca yang dingin itu.
 

Aiman menghempaskan dirinya ke katil bujangnya sambil menghelakan nafas yang panjang.

“ Bagus jugak dapat lelapkan mata macam kawan aku kat sebelah ni “ fikir Aiman.

Lantas beliau mengambil satu lagi bantal dan ditekupkan kemukanya. Memang itu tabiat Aiman kalau dia nak tidur. Macam-macam aje la tabiat Aiman ni. Dengkur Karim semakin kuat. Sah, Karim dah sampai ke tanahair la ni. Mungkin sedang bermimpi melayani Maya, isterinya serta anak-anaknya. Kesian juga aku dengan Karim, semenjak beliau sampai ke Missouri ni enam bulan yang lalu, belum pernah sekalipun beliau berpeluang berjumpa dengan keluarganya. Hanya berhubung melalui telefon untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu.


Selang beberapa minit, Aiman mengalihkan semula bantal yang ditekup di muka tadi. Mata tak mahu lelap pulak dah. Dengkuran Karim sudah bertukar irama pula, dah terasa macam gesekan biola Ebiet G Ade, pula.

“ Hmm, dari aku dengar Karim berdengkur, baik aku buka CD lagu-lagu Ebiet “ ujar Aiman memujuk diri sendiri.

Sambil mendengar nyanyian puitis Ebiet berserta dengan gesekan biola yang gemersik dan diselangseli dengan petikan gitar yang menggetar jiwa, Aiman senyum sendirian. Itulah jiwa Aiman. Jiwa halus. Jiwa puitis. Walaupun rakan-rakan Aiman, baik semasa di sekolah berasrama dulu mahupun semasa di universiti selalu mengusik Aiman ‘jiwang’, tapi Aiman bahagia menjadi seorang yang berjiwa romantis, hahaha….


Lagu-lagu Ebiet berkumandang perlahan, satu persatu. Aiman cuba menghayati bait-bait puisi serta memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis liriknya, yang majoritinya Ebiet sendiri yang hasilkan. Terlampau dalam dan abstrak, komen Aiman sendirian.  Aiman terus melayan perasaannya menghayati iramanya. Tanpa sedar, Siti, gadis manis yang muncul dalam lamunan Aiman sebentar tadi menerjah semula dalam ingatan Aiman. Puas Aiman cuba menghentikan lamunannya, tetapi bayangan SIti terus menghambatnya. Aiman akhirnya tewas dan akur. Lamunan tentang Siti bersambung lagi.

Aiman terasa sunyi tanpa kelibat Siti. Baru Aiman tersedar yang selama ni Aiman ‘hidup’ bila asyik bergaduh, berdebat, memperlekehkan dan memburuk-burukkan SIti. Bila Siti tiada, Aiman rasa separuh semangat Aiman hilang bersama Siti. Sebenarnya Aiman perlukan Siti. Aiman nak Siti sihat dan kembali semula ke sekolah. Aiman nak berkawan baik dengan Siti. Aiman berjanji tak nak lagi bergaduh dengan Siti, tak nak lagi memandang rendah dengan Siti, tak nak lagi nak tunjuk ego pada Siti.
 

Itu janji-janji Aiman. Untuk membuktikan yang dia sedia berubah, Aiman pastikan semua nota-nota pelajaran dicatat dan dijilid kemas serta disimpan untuk Siti. Aiman ingin memastikan Siti tidak ketinggalan dalam pelajaran walaupun lama cuti sakit. Kadangkala semasa dalam kelas, Aiman akan bertanyakan soalan-soalan yang Aiman rasa kalau Siti ada, Siti akan tanya cikgu soalan-soalan tersebut. Pernah semasa perbincangan berkumpulan, Aiman mempertahankan idea-idea Siti sebelum ini walaupun Aimanlah antara orang yang paling kuat menentangnya masa mula-mula dulu.


Projek-projek persatuan yang tergendala Aiman cuba selesaikan setakat yang mampu. Aiman tidak mahu bila Siti kembali ke sekolah, SIti terpaksa menyudahkan semua kerja yang tertunggak. Akibatnya Siti akan jatuh sakit semula. Aiman nak pastikan Siti gembira dan ceria seperti sebelum ini. Mana-mana projek yang masih di peringkat perbincangan, Aiman akan panggil Ahli-ahli Jawatankuasa yang ada untuk sama-sama memberikan idea untuk melaksanakan projek yang telah dirancang itu. Dalam masa yang sama, Aiman sesekali ada menelefon Siti dan bertanyakan perkembangan kesihatan Siti yang terkini. Aiman hanya dapat bertanya khabar, memberikan nasihat dan kata-kata semangat kepada Siti, tetapi bagi Aiman itu sudah cukup untuk tunjukkan pada Siti yang Aiman ambil berat tentang Siti. Aiman akan berceloteh tentang perkembangan terkini di sekolah dan maklumkan banyak projek persatuan yang sedang berjalan.
 

Siti gembira bila Aiman memaklumkan kepadanya apa yang berlaku di sekolah. Siti tak sangka Aiman sanggup bersusah payah untuk Siti, kerana walaupun Siti ramai kawan tetapi tiada seorangpun yang mengambil berat dan berinisiatif seperti Aiman. Dalam hati, Siti turut sama menyesali tindakan ‘kasar’nya terhadap Aiman selama ini. Baru Siti sedar bahawa Aiman ni baik orangnya. Walaupun muka Aiman garang, tidak mudah mesra dan egois, ada kebaikan yang tersembunyi di dalam hati Aiman. Siti sedar Siti salah menilai keperibadian Aiman selama ini.


Hampir enam minggu Siti bercuti sakit, dan Aiman ingat benar dua minggu selepas cuti Hari Raya tahun tu, Siti kembali ke sekolah. Masa tu dah semakin hampir untuk peperiksaan PMR. Mungkin Siti berjumpa kawan-kawannya terlebih dahulu, tetapi Aiman merasa besar hati apabila Siti datang ke pusat sumber dan menyapa Aiman. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum itu, kerana Siti lebih banyak mengelak dari berjumpa atau berselisih dengan Aiman. Hanya Aiman saja yang mengendeng-ngendeng dengan SIti, walaupun mereka tidak boleh berdekat. Pelik perangai Aiman ye.


Tanpa disedari mata Aiman sudah bergenang melihat keadaan fizikal Siti yang jauh lebih susut dari sebelumnya.  Siti bukanlah tergolong dalam golongan gadis yang gemuk, cuma agak berisi sedikit.

“ Kurus kau Siti “ Terlontar spontan dari bibir Aiman.

“ Kan, kurus aku kan Aiman. Tak boleh makan…” Jawab Siti, membayangkan yang SIti ni pemakan orangnya.

“ Terima kasih ye Aiman kau ambil berat tentang aku. I appreciate it “ sambung Siti lagi.

“ Hmm, dah speaking dengan aku pulak dah “ cebik Aiman dalam hati. Bukan hanya kurus, Siti nampak cengkung dan dia sendiri mengaku badannya belum sekuat biasa.
 

“ Kesiannya…” Bisik hati Aiman.

Siti yang dia kenali jauh berbeza dengan SIti yang berada di depan matanya sekarang. Dari kejauhan Aiman sebenarnya membuat persepsi tersendiri tentang Siti. Walaupun Siti garang, panas baran dan tak mudah bertolak ansur, tapi SIti seorang yang periang. Aiman suka bila Siti gelak, terasa ikhlas benar tawa dan gelak SIti. Siti bukan jenis gadis yang bermuka-muka dan berpura-pura, kalau dia tak berkenan sesuatu perkara, Siti akan cakap direct aje. Part ni yang Aiman selalu nipis telinga dengan Siti.


Ada dua perkara tentang Siti yang Aiman teruja, iaitu senyuman Siti dan cara Siti makan. Bagi Aiman, senyuman Siti cukup mahal. Senyuman semanis kurma inilah yang menjadi magnet menarik hati Aiman untuk rapat dengan Siti, walaupun mereka selalu berselisih faham dahulu. Aiman suka tengok cara Siti makan. Siti bukanlah pelahap orangnya, tetapi sesiapa yang tengok apatah lagi kalau makan bersamanya, akan nampak betapa bersemangat dan terujanya Siti menikmati juadah, baik sarapan, makan tengahari atau sekadar meneguk air. Memang membangkitkan selera makan orang lain.


Aiman tersentak mendengar bunyi dentuman. Hujan dah lama berhenti dan tiada pula bunyi guruh atau petir. Bunyi apa tu, dan dari mana datangnya? Bila Aiman menoleh ke arah Karim, beliau sedang tersipu-sipu duduk di tepi katilnya. Rupanya Karim melepaskan ‘bom tanpa asap’nya!!!