Tuesday, October 21, 2014

EPISOD 3
 
 
Bagai anjing dengan kucing, begitulah hubungan panas dan sejuk antara Aiman dan Siti untuk beberapa ketika. Pantang berjumpa, mesti ada benda yang didebatkan dan dipertikaikan. Pasti ada  saja yang tak kena. Rakan-rakan mereka akan pelik jika sesekali Aiman dan Siti boleh berbual dan berdebat tanpa beremosi, dan boleh pula bergurau senda. Walaupun begitu, dalam hati Aiman, perasaan suka pada Siti tidak pernah berubah, tetapi hanya dipendamkan di dalam hatinya.
Seringkali Aiman berpolemik dengan dirinya sendiri. “ Buat apa aku nak terhegeh-hegeh mengambil hati Siti sedangkan dia tak suka aku “ Aiman membuat kesimpulan sendiri. “ Berkawan biasa aje la, tak payah nak serius-serius ni bagai. Kau pun muda sangat lagi. Masih ada banyak masa untuk membuat pilihan yang betul dan tepat “ Bisik hati Aiman di ketika yang lain. “ Hmm, betul gak tu, periksa UPSR pun belum, ni nak cintan-cintan, leceh lah … “ Aiman membenarkan bisikan hatinya tadi.
Aiman merasa lebih tenang selepas beliau membuat keputusan untuk berkawan biasa sahaja dengan Siti dan melupakan hasrat asalnya untuk menjadikan Siti teman istimewanya.  Tak perlu lagi Aiman nak control macho bila ada apa-apa hal dengan Siti. Kalau Aiman rasa perlu cakap walaupun perkara itu mungkin menghiris hati SIti, Aiman akan cakap tanpa berlapik. Kalau Siti marah-marah dengan Aiman pun dia buat tak tahu saja, selagi boleh tahan telinga, dia layankan aje, tapi kalau dah hilang sabar, Aiman pulak membentak Siti tanpa belas kasihan.
 
Aiman meneruskan kehidupan seperti biasa. Kegiatan persatuan berjalan lancar. Pelbagai cabaran dan masalah berjaya diselesaikan walaupun tak terkira keringat dan penat lelah ahli-ahli persatuan tersebut. Aiman dan Siti pun tak terkecuali, turut bertungkus lumus walaupun sering bermasam muka sesama mereka. Di samping sibuk dengan program sekolah, Aiman dan Siti tidak lupa untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran bagi menghadapi peperiksaan UPSR tahun tersebut.
 
Aiman dan Siti lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR tersebut, dan hasilnya ke dua-dua mereka melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah. Mereka mendapat tawaran  ke sekolah berasrama penuh yang sama, maka hubungan anjing dan kucing mereka berterusan sehingga ke sekolah itu. Mereka juga turut aktif dalam persatuan yang sama, dan masing-masing memegang jawatan yang agak penting dalam persatuan tersebut.
Satu ketika, Siti dah beberapa hari tak datang sekolah. Pada mulanya Aiman tidak ambil tahu, lantaklah dia nak datang sekolah ke tidak. Beberapa program persatuan turut tergendala kerana Siti penggerak utamanya turut tidak memberikan apa-apa kesan kepada Aiman. Ada juga dengar kawan-kawan beritahu yang Siti sakit, tetapi Aiman tidak mengambil serius sehinggalah Aliya, kawan baik Siti menangis-nangis beritahu situasi sebenar Siti. Aiman tergamam seketika. Perasaan resah, sedih dan bimbang tentang tahap kesihatan sebenar Siti membuatkan Aiman tidak senang duduk.
Baru Aiman tersedar, sebenarnya Aiman masih menyimpan perasaan yang mendalam kepada Siti dan begitu mengambil berat tentang Siti. Aiman tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Nak pergi ke rumah Siti, perasaan takut tu ada, maklumlah ayah Siti seorang bekas tentera. Tak pasal-pasal nanti Aiman kena marah sebab suka-suka datang rumah Siti tanpa diundang. Aiman memberanikan diri bertanyakan nombor telefon Siti dari Aliya, dan dari situ dapatlah Aiman mendengar sendiri dari mulut Siti tentang keadaan kesihatan sebenar beliau.
 
Siti kata doktor pada masa itu tidak dapat mengesahkan jenis dan punca penyakit Siti.  Sebak Aiman mendengar suara Siti yang lemah dan tak bermaya. Selepas memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar Siti cepat sembuh, Aiman cepat-cepat meletakkan telefon. Aiman tak nak Siti tahu yang Aiman menangis sedihkan keadaan Siti yang sedang menderita melawan penyakit yang agak ganjil itu. Masih nak control macho la Aiman ni. Sebelum meletakkan telefon, Siti berkali-kali mengucapkan terima kasih pada Aiman kerana sudi bertanya khabar. Agaknya, Siti pun tak percaya yang Aiman ambil berat tentang dia selama ni.