Wednesday, November 19, 2014

EPISOD 5


“ Kau teringatkan SIti ke? “ Tiba-tiba Karim membuka bicara.

“ Tak de la” Selamba Aiman menafikan.

“ Kau jangan nak kelentong aku la, Aiman. Dah lama aku perhatikan kau mengelamun tadi “ Karim mencelah pula sambil mengambil tuala mandinya yang berbau yang tersidai di daun pintu bilik air bilik itu. Busuknya!

“ Alamak, pecah rahsia aku” Gerutu Aiman dalam hati. Aiman hanya tersenyum kambing saja tanda mengiakan teori Karim tadi.

Sambil membetulkan kain pelikat sebelum masuk ke tandas, sempat Karim memberikan nasihat percuma pada Aiman.

“ Orang lelaki ni Aiman, kalau dia dah suka dan berkenan dengan perempuan tu, kena berani terus terang. Puas hati kalau dia terima, kalau tak, kau boleh move on. Ni dalam hati suka tapi dok simpan dalam hati je nak buat apa. Bukan setahun, dua tahun, dari sekolah rendah lagi kau berkawan dengan dia. Silap-silap dia dah jadi hak orang “ Panjang pulak Karim berleter.


Aiman mendiamkan diri aje. Ada benarnya juga kata-kata Karim tadi. Karim tahu banyak cerita Aiman kerana Karim turut bersama Aiman dan Siti semenjak sekolah rendah hingga masuk ke universiti dahulu. Cuma, Karim ambil kursus Software Engineering, sementara Aiman dan Siti sama-sama mengikuti kursus Mass Comm.
 

Hmm, Aiman mendengus sambil mengangkat bahu sebelah tanda malas nak berfikir. Apa yang Aiman boleh ingat, selepas Siti pulih dari sakit dan kembali semula ke sekolah, hubungan Aiman dan Siti semakin bertambah baik. Amat jarang Aiman dan Siti bertegang leher. Hubungan mereka jauh lebih mesra jika hendak dibandingkan dengan sebelum Siti jatuh sakit. Selalunya mereka akan berhujah dan berdebat dengan penuh hemah. Gurauan-gurauan kecil kadang kala mengiringi perbincangan mereka. Aiman dan Siti masing-masing cuba mengawal diri supaya tidak keterlaluan membantah apabila tidak bersetuju dengan pandangan dan pendapat yang satu lagi.
 

Walau bagaimanapun, Aiman tetap berhati-hati untuk tidak melintasi sempadan yang telah beliau lakarkan sendiri sebelum ini.Sebenarnya Aiman merasa malu dan terkilan dengan ayat-ayat sinis SIti ketika Aiman sedang berkawan rapat dengan Zarina. Masa tu mereka di Tingkatan 1. Pada mulanya, Aiman hanya suka-suka berkawan dengan Zarina dengan niat untuk membuat Siti cemburu. Ia hanya perasaan Aiman sahaja kerana SIti langsung tak terkesan dengan tindak tanduk Aiman itu. Dari main-main, Aiman mula serius dengan Zarina, tetapi tidak lama bertahan kerana Aiman dapati Zarina walaupun seorang gadis yang baik, tetapi tidak sesuai dengan jiwa Aiman.
 

Zarina terlalu sensitif. Letih Aiman nak melayan dan menjaga perasaannya. Dia kuat merajuk, dan Aiman pula jenis yang tak tahu mengambil hati perempuan. Akhirnya, Aiman nekad tinggalkan Zarina. Kesian dengan Zarina, tetapi masa tu Aiman rasa dia perlu jujur dengan dirinya sendiri dan juga dengan Zarina. Semasa berkawan dengan Zarina itu, Aiman sering menemani Zarina ke pusat sumber dan makmal Sains, tetapi setiap kali kalau terserempak dengan SIti, Aiman merasa serba salah. Mahu rasanya Aiman tarik tangan Siti dan menjelaskan apa yang dia nampak dan apa yang di dalam hati Aiman adalah berbeza. Bila difikirkan SIti tu boleh saja menengking Aiman di depan kawan-kawannya, Aiman terus berlagak sombong.


Susah nak percaya, kan. Tapi, hati Aiman hanya untuk Siti. Semenjak pertama kali melihat Siti di sekolah rendah lagi Aiman sudah suka dengan Siti, dan bila meningkat remaja perasaan suka itu sudah bertukar menjadi sayang. Hati Aiman bergetar setiap kali melihat kelibat Siti, dan Aiman sentiasa memantau perkembangan Siti dari jauh. Aiman berhasrat untuk menyunting Siti menjadi teman hidupnya bila tiba masanya nanti. Aiman khuatir Siti mungkin langsung tidak ada apa-apa perasaan terhadap Aiman. Itu yang menyebabkan Aiman tidak mempunyai kekuatan untuk mendekati dan meluahkan perasaannya pada Siti.  Aiman hanya berkongsi perasaan sebenearnya terhadap Siti dengan Karim, kawan rapatnya.
 

Masa Aiman berkawan dengan Zarina, entah mengapa ramai rakan-rakan yang tak berapa setuju dengan hubungan tersebut. Ramai meramalkan yang hubungan itu tidak akan bertahan lama dan akhirnya Aiman akan mengecewakan Zarina. Mungkin sebab Aiman dilihat sebagai seorang yang garang dan panas baran. Berbeza benar dengan Zarina yang lembut dan sopan santun. Bila Aiman nekad tinggalkan Zarina, salah seorang yang marah sangat ialah SIti, dan SIti menjadi ‘kepala’ memulaukan Aiman. Aiman merasa sangat sedih kerana Siti tidak memberinya peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya. Pernah Aiman mengajak bersemuka dengan SIti di kantin sekolah, tetapi Siti menolak mentah-mentah.
 

Ini berlaku sebelum SIti jatuh sakit. Sejak itu Aiman merasa jauh hati dengan SIti, dan cuba menjarakkan diri serta membuang jauh-jauh perasaan hati Aiman yang sebenarnya terhadap SIti. Itu sebabnya walaupun selepas itu mereka boleh berkawan, Aiman sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak berlebih-lebihan dan mengawal perasaan diri sendiri. Sesuatu yang sukar sebenarnya bagi Aiman lakukan kerana jauh di sudut hati, Aiman tetap menaruh harapan pada SIti.


No comments:

Post a Comment