Wednesday, December 10, 2014

EPISOD 6



Selesai peperiksaan SPM, Aiman dan Siti sama-sama dapat melanjutkan pelajarannya ke Kolej Matrikulasi di utara tanahair. Sebenarnya Aiman mendapat tawaran ke sebuah universiti swasta tempatan dan kursus yang ditawarkan memang sesuai dengan minat Aiman., iaitu Sains Aktuari. Tawaran matrikulasi yang diterima kemudiannya hanya dipandang sepi oleh Aiman. Segalanya berubah bila Aiman mendapat tahu yang Siti turut ditawarkan tempat ke Kolej Matrikulasi yang sama.
 

Sukanya hati Aiman. “ Macam dah ditakdirkan aje aku dan Siti akan hidup bersama “ Aiman tersenyum kambing. Perasannya Aiman!
 

Setelah berkali-kali Siti mengesahkan yang dia menerima tawaran dan akan mendaftar di Kolej Matrikulasi berkenaan, Aiman membulatkan tekad untuk turut menerima tawaran matrikulasi itu juga. Bagi Aiman, selagi ada peluang untuk dia mendekatkan diri dengan Siti, dia akan lakukan. Siti adalah segalanya untuk Aiman, dan Aiman sanggup berkorban apa saja untuk Siti. Cuma kalau Siti minta Aiman berenang lautan api, ada susah sikit untuk Aiman lakukan, sebab Aiman tak tahu berenang, hahaha …
 

Kehidupan berjalan seperti biasa. Aiman dan Siti masing-masing sibuk dengan kuliah, tugasan dan ko-kurikulum. Berbeza dengan zaman persekolahan dahulu, Aiman dan Siti tidak berapa aktif terlibat dalam persatuan pelajar. Mungkin sebab tempoh pembelajaran yang singkat selama setahun dan jadual yang padat membuatkan tumpuan mereka hanya kepada akademik. Mereka dalam group discussion yang sama, maka selalu juga Aiman dapat meluangkan masa bersama Siti. Hmm, bukan itu yang Aiman nak ke? Hehehe … Dah resmi mereka, tak boleh berbincang kalau tak bergaduh ke apa, tapi tidak lah seperti zaman sekolah dahulu. Tiada lagi perselisihan faham atau bermasam muka yang berpanjangan. Semua perselisihan habis setakat group discussion tu aje. Anjing dan kucing dah sama-sama jinak kot ….
 

Mereka dah boleh bergurau senda. Siti pun nampak dah mula selesa dengan Aiman.  Mereka banyak berkongsi cerita dan kisah peribadi. Tanpa disedari, tembok pemisah antara Aiman dan Siti runtuh satu persatu. Siti pun tidak kekok lagi dengan Aiman dan Aiman pula mula menerima Siti seadanya. Kadangkala Siti akan minta Aiman untuk menemaninya jika Siti ada urusan peribadi di bandar pada hujung minggu, tetapi memastikan mereka tetap menjaga batasan agama. Tapi ada satu yang Aiman masih belum ada kekuatan untuk lakukan: meluahkan isi hatinya pada Siti. Aiman berbelah bagi samada keakrabannya dengan Siti sekarang adalah petanda yang Siti juga mula ada perasaan padanya atau Siti hanya menganggapnya sebagai rakan biasa. Aiman tidak mahu hatinya terguris lagi seandainya Siti tidak menerimanya sebagai teman istimewa.
 

*************************

 
Cepatnya masa berlalu. Setahun di Kolej Matrikulasi berlalu tanpa disedari. Semua pelajar mula sibuk membuat permohonan kemasukan UPU untuk membuat pilihan kursus dan universiti untuk meneruskan pengajian mereka. Aiman tidak terkecuali. Aiman ada berbincang dengan Siti tentang pilihan kursus dan universiti yang akan mereka mohon. Aiman nak memastikan dia  dan Siti mempunyai peluang masuk ke universiti yang sama serta mengikuti kursus pengajian yang sama. Fikir Aiman, masa di universiti nanti, dia akan memberanikan diri untuk meluahkan isi hatinya dengan Siti. Baginya, waktu di universiti dah sesuai, dengan faktor umurnya, dengan faktor kematangan masing-masing dan dengan Siti yang sudah mula ‘jinak’ dengan Aiman.  Begitu Aiman memasang angan-angan.

 
Sementara menunggu tarikh kemasukan ke universiti pilihan, semua pelajar menikmati cuti yang agak panjang. Ada rakan-rakan yang membuat kerja sementara untuk menampung perbelanjaan semasa di universiti nanti. Ada pula yang menghabiskan masa bercuti dengan sekadar berehat bersama keluarga. Aiman bekerja sementara di sebuah pusat membeli belah di Bandar Rawang, sementara Siti pula dinasihatkan oleh ayahnya untuk duduk rumah saja. Walaupun bekerja, Aiman selalu mengintai peluang dan berhubung dengan Siti untuk bertanya khabar dan mengikuti perkembangan terkini masing-masing.

 
Sekali lagi takdir memihak kepada Aiman. Apabila keputusan UPU dikeluarkan, Aiman dan Siti ditawarkan ke universiti yang sama, di Sarawak. Lebih menggembirakan Aiman ialah apabila mereka berdua akan mengambil kursus pengajian yang sama. Aiman tersenyum lebar saja dua tiga hari selepas itu. Hajatnya untuk terus bersama Siti tercapai, dan ruang terbuka luas untuk Aiman akhirnya meluahkan isi hatinya selama ini kepada Siti. Aiman sudah mula membayangkan kenikmatan rumahtangga yang bakal dikecapinya nanti.

 
Aiman yakin Siti akan menerimanya dan tidak akan menolak luahan isi hati Aiman nanti. Tidak seperti dulu, Aiman telah banyak berubah dan semakin matang. Siti juga dari pengamatan Aiman telah banyak berubah. Siti menjadi lebih peka perasaan orang lain dan juga mula belajar mengawal ego dan panas barannya. Walaupun Siti tidak pernah memberikan sebarang petunjuk yang dia sukakan Aiman, bagi Aiman itu tidak penting.

“Argh! Susah tentu dia malu nak memulakan dan berterus terang. Takkan perigi mencari timba” Kata Amir menyakinkan dirinya sendiri.

 
Tidak pernah terlintas di fikiran Aiman yang takdir menentukan di sebaliknya. Suatu peristiwa dan keputusan besar yang diambil Siti telah merubah segala-galanya.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment