Saturday, December 13, 2014

EPISOD 7



“ Kau punya berangan, aku dah lama siap salin baju kau masih tak mandi lagi “ Jerkah Karim.

 “Kau nak keluar beli lunch ke tak ni? Kalau tak, aku pergi sorang je ni “ Gertak Karim lagi.

Aiman tersipu-sipu malu. Rupanya dah lebih setengah jam Karim keluar dari bilik air dan bersiap-siap.

“Sorry. Sorry. Tunggu aku. Jap je ni “ Pujuk Aiman sambal bergegas ke bilik air.
 

Aiman tahu Karim takkan sampai hati nak keluar tanpanya. Lagipun, Karim terpaksa juga menunggu Aiman kerana beliau perlu menumpang kereta Aiman kalau nak ke mana-mana. Karim tak ada kereta. Bukan tak mampu, tapi malas nak beli, katanya, kerana hanya tinggal dua bulan sahaja lagi sebelum dia pulang ke tanah air. Berbeza dengan Aiman yang menyambung pelajarannya di peringkat PhD, Karim hanya bertugas sementara di pejabat wilayah di situ untuk tempoh satu tahun.
 

Sebenarnya, Karim dihantar oleh syarikat tempat beliau bekerja untuk menimba ilmu korporat di syarikat induk di Amerika Syarikat. Karim dilihat mempunyai potensi untuk melangkah jauh dalam karier beliau di syarikat tersebut, lalu beliau dipilih terlibat dalam satu program pertukaran (exchange program). Tujuannya supaya Karim dapat memahami objektif dan arah tuju pengurusan syarikat beliau bekerja tersebut yang pasti berguna untuk perkembangan karier Karim nanti.

 
Karim mempunyai beberapa pilihan masa tu, samada memohon ditempatkan di Malmo, San Francisco atau Baton Rouge, Louisiana, tetapi memilih Missouri kerana tempat kerjanya agak dekat dengan penginapan Aiman. Sementelah lagi, Aiman rakan baiknya semenjak sekolah rendah lagi, beria-ia mengajak Karim tinggal bersamanya. Aiman tinggal keseorangan, dan fikirnya bila Karim duduk dengannya, ada juga teman berbual. Karim hanya berjalan kaki sahaja ke tempat kerjanya yang tak sampai pun 10 minit.


Karim jenis yang tak lokek duit, selalunya kalau pergi mana-mana, dia akan bayarkan duit petrol. Aiman okay je, walaupun Aiman tidaklah sengkek mana. Duit elaun setiap bulan cukup untuk menampung keperluan Aiman. Tambah-tambah lagi Aiman bercuti separuh gaji untuk meyambung pelajarannya. Jadi, dari segi kewangan, Aiman agak selesa. Tapi, bak kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari …
 

Karim seorang lelaki yang apabila bercakap susah untuk berhenti. Kalau kawan-kawan tak mencelah, boleh saja Karim bercakap berjam-jam lamanya. Nak mencelah dan bantah cakapnya kena hati-hati dan berfakta, kalau tak, memang percuma je kena bebel. Kalau dia betul atau dia rasa dia berhak untuk sesuatu, dia akan pastikan dia berjuang hingga beliau mendapat hasil yang dikehendakinya. Ini tidak menghairankan kerana semasa di sekolah menengah dan universiti dulu, beliau sering terlibat dalam pertandingan debat dan bahas. Oleh kerana sikapnya begitu, Aiman sering jadi mangsa bebelan Karim, kerana bagi Karim, Aiman terlalu takut untuk mempertahankan pendapat atau haknya.
 

*******************

 
Selesai bersiap, Aiman tanpa lengah terus keluar untuk menghidupkan enjin kereta sebelum Karim berkhutbah lebih panjang. Dah kereta lama, ditambah pula dengan cuaca yang hampir sejuk beku, ambil masa sikitlah untuk hidupkan enjin. Tunggu Karim tak keluar-keluar, giliran Aiman pula menjerit kat Karim.
 

 “ Tadi ye ye kau marah aku. Ni kau pulak yang lewat “ Kata Aiman melepaskan geram.
 

Puas hati Aiman bila tengok Karim terkocoh-kocoh keluar. Hampir-hampir Karim tak sempat menukar seliparnya dengan sandal. Kalau tak, memang jadi bahan la Aiman mengutuk Karim.
 

Ya. Aiman, walaupun agak pendiam tetapi sebenarnya suka mengutuk orang lain, terutamanya mereka yang rapat dengannya. Kalau orang yang tak biasa dengan Aiman, pasti menganggap beliau seorang yang sombong dan berat mulut. Hakikatnya tidak. Aiman sebenarnya mudah didekati, cuma mungkin lambat mesra. Mungkin kerana sedikit parut di mukanya membuatkan Aiman agak pasif untuk memulakan salam perkenalan dengan orang yang belum dikenali.
 

Aiman menyusur perlahan Lincoln Avenue. Salji yang telah mula membeku menjadikannya berbahaya untuk kenderaan yang dipandu laju. Mungkin sebab bosan, Karim meminta izin untuk menghisap rokok, walaupun Karim tahu Aiman tidak akan mengizinkan. Aiman hanya menjeling sinis saja bila Karim membuka mulut tanpa Aiman berkata apa-apa. Karim mendengus makna faham maksud gerak geri Aiman itu. Karim tahu kalau dia buka mulut lagi sekali, masak dia kena ceramah kesihatan percuma dengan AIman.
 

Dalam hati, Karim rasa tercabar juga Aiman sudah tidak merokok lagi. Sudah 8 tahun, katanya. Masa belajar dulu, mereka berdua sama-sama kuat merokok, tetapi Aiman meninggalkan tabiat buruk itu setelah Siti selalu membebel tak tahan bau rokok dari mulut Aiman bila mereka duduk berdiskusi hal-hal pembelajaran dan kerja-kerja persatuan. Karim rasa tercabar kerana dia yang selalu sebut nak berhenti merokok, tapi hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja. Pernah Karim tanya Aiman rahsia beliau boleh berhenti. Jawab Aiman ringkas, “Siti”. Hmm, meluatnya Karim dengar masa tu…
 

Apabila Karim menumpang rumah Aiman, beliau nak tak nak terpaksa akur dan menghormati pendirian baru Aiman. Beliau tidak akan merokok kalau Aiman ada di rumah. Kalau dah tak tahan sangat, Karim akan masuk tandas dan mencari ilham di situ. Masa musim panas lalu, Karim siap beli kerusi malas dan letak di luar rumah sewa tu, untuk dijadikan tempat beliau merokok dan melepak. Taka da pulak kes kerusi tu hilang kena rembat. Kalau kat Malaysia tu, rasa-rasanya belum sempat siang esoknya, dah kena kebas. Maaf cakap, kenyataan …
 

******************
 

Perjalanan ke Watt selalunya dalam 15 minit, tetapi dalam cuaca yang begini, hampir 40 minit selepas bertolak, baru Aiman sampai dengan selamat. Musim sejuk tahun ini agak teruk, dengan suhu tercatat paling rendah dalam tempoh 20 tahun. Bagi mereka yang tidak pernah merasa salji, mula-mula akan merasa seronok dapat bermain salji. Tetapi setelah beberapa ketika, ianya agak merimaskan. Banyak aktiviti yang tergendala atau terpaksa dijadual semula hingga menimbulkan masalah besar kepada penduduk setempat.
 

Aiman bernasib baik kereta tidak banyak di Highway 55, jadi tidaklah Aiman merasa cuak. Walaupun dah dua tahun Aiman sambung belajar di Missouri, beliau masih fobia untuk membawa kereta dalam cuaca yang ekstreme. Beliau pernah mengalami kemalangan jalanraya semasa di Sarawak dahulu. Kereta sewa yang dipandunya agak remuk dilanggar oleh sebuah kenderaan berat dari arah bertentangan. Masa tu hujan lebat dan jarak penglihatan agak terhad. Nasib Aiman baik kerana beliau hanya cedera ringan, Cuma kesan parut kekal dimukanya. Sejak itu, Aiman cukup risau kalau memandu dalam situasi yang tidak begitu kondusif.  

 
Sepanjang perjalanan, Karim lebih banyak mendiamkan diri, melayan kelat mengantuknya. Aiman juga tidak banyak bercakap, menumpukan perhatian beliau memandu. Sesekali Karim bertanya samada mereka dah sampai ke Watt ke tak. Bila Aiman senyap dan tak menjawab, Karim tahu destinasi yang dituju masih belum tiba. Tidaklah pula Karim merungut lewat sampai sebab Karim tahu Aiman fobia memandu dalam situasi sebegitu. Lagipun Karim menumpang, jadi kena pandai-pandailah sesuaikan diri …
 

Sesampai ke pasaraya tersebut, AIman dan Karim berpecah memilih haluan masing-masing, tetapi berjanji untuk makan tengahari bersama selepas satu jam. Aiman lebih selesa macam tu sebab Aiman tak suka mengambil masa yang lama untuk membeli barang-barang keperluan. Bagi Aiman, dia akan rancang dulu apa yang dia nak beli, jadi bila sampai dia terus mencari barang-barang tersebut. Berbeza pula dengan Karim. Dia lebih suka berpusing-pusing dahulu sebelum mengenalpasti barang-barang yang mahu dibeli. Tak hairan, selepas sejam, hanya se helai khaki sahaja yang Karim beli, berbanding Aiman yang penuh trolinya.


No comments:

Post a Comment