Thursday, December 18, 2014

Episod 8


‘Siti ada contact kau?” Terpacul soalan cepu emas dari Karim.

“Tak ada” Tersentak dengan soalan Karim, Aiman menjawab pendek.

“Kau ada contact dia?” Tanya lagi Karim untuk mengorek rahsia.

Sambil mengeluh Aiman menjawab: “Hmm, masa mula-mula dulu adalah, sekarang ni tak ada”.

“Mengapa kau tak contact dia lagi?” Soal Karim lagi, persis soalan peguam menyoal siasat saksi anak guamnya.

“Banyak pulak soalan kau, Karim” Sebenarnya Aiman sendiri tak ada jawapan untuk soalan terakhir itu.

 

“Macam aku tak kenal kau, Aiman. Dok dari lepas Subuh tadi aku tengok kau asyik termenung aje. Nak kata kau ada masalah apa-apa, aku tak nampak pulak. Teringat Siti le tu” Tak kuasa Aiman nak bertelagah dan menafikan, sementelah pula memang tepat tekaan Karim.

“Entahlah Karim. Aku rindu sangat kat dia” Jeng, jeng, jeng …

 Aiman melepaskan perasaan yang terbuku dihatinya. Jika tadi, Aiman lebih bercakap seorang diri, tetapi kini Aiman merasakan dia perlu berkongsi kesedihannya dengan Karim. Berat sangat dadanya nak menanggung keresahan itu seorang diri. Sekurang-kurangnya, ringan sikit bebanan jiwa yang ditanggungnya. Mungkin juga Karim dapat memberikan idea dan pandangan yang sesuai dipraktikkan.

 

Hampir tersedak Karim bila Aiman berterus terang begitu. Amat jarang Aiman berani berkongsi rasa rindu pada Siti. Ni rindu tahap maksima le ni, kata Karim dalam hati. Karim tahu Aiman cintakan SIti tetapi Karim sampai sekarang tak faham mengapa Aiman tak gentleman dan enggan berterus terang dengan SIti.

“Kau ceritalah, aku boleh dengar. Lagipun kita tak rushing apa-apa, kan? Cappucino kat sini pun terbaik, boleh je re-order “ Bersungguh betul Karim.

“ Ye la, lepas tu, bil cappucino tu kau claim balik dengan aku le tu.” Tempelak Aiman.

“Tau tak pe. Dah, professional fees” Karim menjawab sambil gelak besar.

“Tak tau nak mula dari mana. Panjang ceritanya Karim. Nanti bil professional fee kau tu melambung, tak tercover aku” Kali ni giliran Aiman pula mengusik Karim.

Rakannya hanya senyum meleret aje mendengar sindiran Aiman.

Suasana hening seketika. Karim menuggu dengan penuh sabar untuk Aiman memulakan bicara. Cappucino tu dihirupnya dengan penuh nikmat, sambil matanya tepat memandang dan memerhatikan gelagat Aiman. Rasa kasihan pada Aiman.

“Dah macam mitos cerita Laila Majnun pulak kawan aku ni” Keluh Karim dalam hati.

Aiman pula terus gelisah. Asyik menghela nafasnya panjang-panjang. Serba salah.

 

****************

 

“OK, camni. Dah berapa lama kau dua orang dah tak contact? Kau tau pasal apa Siti tiba-tiba berhenti dan tak habis belajar dulu? Mungkin tak SIti dah berkeluarga? ” Bertalu-talu soalan Karim memecahkan kebuntuan.

Mungkin Karimpun dah hilang sabar menunggu Aiman bersuara. Tiada jawapan.

“ Entah-entah Siti dah meninggal, Aiman “ Tersentak Aiman dengan soalan provokasi Karim tu.

“ Tak kot” Jawab Aiman. Pendek.

“Mana kau tahu?” Bentak Karim lagi.

“Gerak hati aku” Lagi Aiman menjawab pendek.

Sekurang-kurangnya Aiman dah mula buka mulut. Karim ketawa berdekah-dekah mendengar jawapan Aiman.

“ Kelakarlah kau ni Aiman. Yang ni kau percaya gerak hati kau, yang part kau suka dia tapi tak berani nak berterus terang, mana pergi gerak hati kau?” Puas hati Karim dapat membelasah bola tanggung dari Aiman tadi.

Aiman hanya tersengih malu.

“Celaka. Sempat lagi kau nak kenakan aku” kata Aiman dalam hati.

“ Aku rasa semester break ni aku nak balik Malaysia dan cari SIti la “. Belum sempat Karim mencelah, Aiman menyambung lagi. “ Aku nak ajak dia kahwin dengan aku!”

Setelah pasti Aiman sudah habis bercakap, Karim pun bersuara. “Kau biar betul Aiman. Kau jangan buat kerja bodoh camtu”

“Apsal kerja bodoh plak? Selama ni kau dok kutuk aku pasal tak berani nak berterus terang. Ni bila aku ada kekuatan, kau kutuk gak. Tak faham aku kau n!” Marah Aiman.

“ Tak betul cara kau tu Aiman. Semester break dua minggu aje. Sempat ke kau nak cari dan buat majlis kahwin? Tu pun kalau jumpa. Tu pun kalau dia setuju nak kahwin. Kalau dia belum kahwin le… Kau nak cari dia kat mana? Kau kata dah lama benar tak contact, kau tau ke alamat terkininya? Entah-entah parent dia pun dah pindah tempat lain. Kau nak minta tolong polis cari ke, buat lapuran ada orang hilang? “ Tanya Karim dengan sinis.

 

Terdiam Aiman seketika. Bertalu-talu soalan dari Karim. Sesak nafasnya nak menjawab satu-satu.  Sebenarnya Aiman pun tak ada idea macamana nak berhubung dengan Siti. Ada juga Aiman bertanyakan rakan-rakan rapat Siti melalui media sosial, tapi semuanya tidak tahu perkembangan terkini Siti. Atau, mereka sengaja merahsiakan semuanya dari Aiman.  Nombor telefon Siti dah lama ditamatkan perkhidmatannya. Carian dalam internet tentang Siti hanya tertera maklumat-maklumat semasa SIti masih berada di universiti. Tiada maklumat terkini. Misteri sungguh.

 

*****************

 

“ Entah la Karim. Aku pun tak ada idea.” Akhirnya Aiman mengaku.

“ Tapi aku rindu sangat kat dia. Aku kesal sebab tak gunakan peluang dulu untuk menyuarakan rasa isi hati aku.” Sambung Aiman lagi.

“Apa yang menghalang kau?” Satu lagi soalan berapi dari Karim.

“ Rasa nak cekik aje kawan aku yang sorang ni. Bagi le aku soalan-soalan yang mudah sikit …” Gerutu Aiman dalam hati.

Tapi Aiman tahu Karim cuba untuk membantu. Aiman hanya mengangkat bahunya tanpa tiada jawapan. Lagipun sudah agak lama mereka di situ, kalau Aiman terus melayan Karim, takut terlewat untuk solat Zohor pula.

 

Selepas membayar, mereka bergegas ke Pusat Islam di Franklin Avenue yang tidak jauh dari situ. Masih ada beberapa orang lain yang turut baru nak bersolat, maka berjemaahlah mereka. Oleh kerana waktu solat Asar hampir tiba, mereka membuat keputusan untuk menunggu solat Asar sekali. Selepas solat, Karim mengajak pergi lepak-lepak di Fenway Lake, lebih kurang satu jam perjalanan. Aiman bersetuju tapi dengan syarat Karim memandu. Karim tidak menolak, mungkin Karim menjangka Aiman boleh bercerita dengan tenang dan bebas tanpa perlu terlalu tertekan dengan pemanduan dalam cuaca sebegini.

 

Benar jangkaan Karim. Tanpa disuruh, Aiman mula membuka cerita lamanya dengan Siti. Macam membuka pandora box, sebab ada juga cerita belakang tabir yang Karim tidak tahupun sebelum ini. Tapi untuk tidak menghilangkan mood Aiman, Karim membiarkan saja Aiman bercerita. Hanya sesekali Karim mencelah meminta kepastian, selain dari itu Karim mendengar dengan penuh minat. Sesekali Karim mengangguk-angguk, ketawa kecil, menggeleng-geleng kepala menunjukkan Karim sedang mendengar luahan hati Aiman dengan penuh minat.

 

Bagi Aiman, biarlah kali ini beliau meluahkan segalanya. Rahsia yang tersimpan selama hampir dua puluh tahun, sejak kali pertama bertemu dengan SIti semasa Tahun 4 di sekolah kebangssan itu  tak mampu lagi beliau tahan.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment